Bagi sesiapa yang memeluk agama Islam, seseorang itu akan bersyahadah. Maka dengan itu dia dikatakan masuk Islam. Mengapa tidak dikatakan masuk Iman? Dengan syahadah, seseorang itu dianggap Muslim sahaja, bukan Mukmin sedangkan Mukmin itulah yang diterima oleh Allah s.w.t. Islam tidak disebut pun tidak apa kerana secara sendirinya, Islam itu ada di dalam Iman. Tetapi kalau dia tidak Islam bermakna dia tidak ada Iman. lni menunjukkan orang yang masuk Islam, belum tentu masuk Iman. Sebab itu tidak dikatakan seseorang itu masuk Iman. Ini seolah-olah Allah s.w.t mempunyai satu taman yang indah dan cantik kemudian ada satu pintu masuk yang besar. Masuk Islam itu hanya seperti masuk pintu dan masih tidak tahu lagi apa yang ada di dalam taman itu sedangkan di dalam taman itu ada bermacam-macam keindahan - keindahan rasa, keindahan akal, keindahan pandangan, keindahan pendengaran dan lain-lain lagi. Bila masuk Islam, keindahan-keindahan itu belum dapat dirasakan lagi.
Jika Islam itu diibaratkan seperti taman yang disebutkan, bermakna seseorang itu baru melepasi pintunya. Jika sudah memasuki pintu, sudah berpeluang menjelajah taman dan dapat merasa segala nikmat-nikmat yang ada di dalam taman itu barulah seseorang itu dikira sudah beriman. Bila seseorang itu sudah bebas dalam taman, dapat merasai pelbagai kenikmatan dalam taman itu, barulah dia dikatakan seorang Mukmin.
Sebab itu beza antara Muslim (orang Islam) dan orang Mukmin terlalu jauh. Ciri-cirinya juga terlalu banyak. Kalau wujud ciri Mukmin maka secara sendirinya ciri-ciri Islam itu akan wujud. Bagaimanapun kalau ciri Muslim wujud pada seseorang, belum tentu ciri Mukmin juga ada. Kerana itu Iman perlu dicari! Dengan kata lain, Iman itulah Taqwa. Kalau begitu, tidak cukup hanya menjadi Muslim (orang Islam) sahaja tetapi mesti menjadi orang Mukmin.
Ciri-ciri orang Mukmin sangat-sangat perlu diketahui supaya dapat diusahakan agar ciri-ciri itu menjadi pakaian diri kita. Untuk menjadi Muslim (orang Islam) mudah kerana apabila seseorang itu sudah bersyahadah, dia tidak boleh dikatakan kafir lagi walaupun dia tidak bersembahyang sekalipun. Jadi, di sini dijelaskan tentang ciri-ciri orang Mukmin berdasarkan satu ayat Quran supaya dapat dilihat apa sebenarnya sifat-sifat orang Mukmin. Kemudian, sifat-sifat itu boleh diusahakan agar kita dapat menjadi orang Mukmin. Di antara ayat-ayat Quran tentang sifat Mukmin ialah Surah Al-Anfal Ayat 2:
8:2 Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (karenanya) dan kepada Tuhan-lah mereka bertawakal.
Sama-sama kita ukur diri kita dengan sifat-sifat Mukmin yang dinyatakan oleh Allah s.w.t ini. Bagaimana hati kita dengar nama Allah s.w.t? Bila dengar ayat-ayat Quran, bertambahkah iman kita? Tawakkal kita kepada siapa selalunya?
Sifat-sifat itu mesti diusahakan agar kita menjadi orang Mukmin. Kenapa? Semua janji-janji Allah s.w.t seperti pahala, kebaikan dan Syurga ditujukan kepada Mukmin, bukan Muslim. Inilah hakikatnya!
Kita wajib bertanya: ADAKAH CUKUP KITA SEBAGAI SEORANG ISLAM (MUSLIM) SAHAJA?
No comments:
Post a Comment